homenext 


DIPLOMA BELIA DALAM KERJA PEMBANGUNAN
Unit Pengajian Pembangunan Belia,
Jabatan Pengajian Pemajuan Profesional & Pendidikan Lanjutan
Fakulti Pengajian Pendidikan,
Universiti Putra Malaysia

1.0  Latar Belakang Program
  1.1 Sejak 21 tahun yang lalu, Sekretariat Komanwel melalui Program Belia Komanwel (CYP) telah mengadakan Program Diploma dan Persijilan Pembangunan Belia di pusat-pusat serantau CYP di Afrika, Asia, Caribbean dan Pasifik Selatan. Semasa mesyuarat Menteri-menteri Komanwel di Trinidad dan Tobago pada 1995, satu mandat telah dipersetujui bagi menstruktur semula program latihan belia agar ia dapat ditawarkan kepada audiens yang lebih luas. Sebagai reaksi kepada cabaran ini, CYP telah mewujudkan perkongsian inovatif bersama 20 buah universiti dan institusi pengajian tinggi dalam Komanwel serta Pendidikan Komanwel (COL). Kerjasama antara CYP, COL dan institusi pengajian Komanwel membuka lembaran baru dalam bidang Pembangunan Belia.
     
  1.2 Kerajaan-kerajaan yang menganggotai Komanwel mencadangkan peluang yang lebih luas dibuka bagi mengikuti program pembangunan Diploma Pengajian Belia dan Pembangunan CYP yang amat diperlukan ini. Ini bermakna Program Diploma yang diubahsuai akan ditawarkan dengan kerjasama institusi terpilih yang mewujudkan perkongsian di peringkat Komanwel. Universiti Putra Malaysia, melalui kepakaran yang ada di Unit Pengajian Pembangunan Belia, Jabatan Pendidikan Pengembangan telah diiktiraf oleh Sekretariat Komanwel sebagai sebuah institusi yang berwibawa untuk menyedia, mengendali dan menganugerahkan diploma baru dalam Belia dalam Pembangunan di rantau ini.
     
  1.3 Program Diploma ini adalah program akademik yang memberikan tumpuan khusus dalam pembangunan sumber belia bagi milenium yang akan datang yang telah dipersetujui oleh negara-negara anggota Komanwel. Memandangkan keutamaan yang diberikan oleh negara-negara anggota terhadap program ini, wakil Sekretariat Komanwel telah menemui ketua-ketua eksekutif institusi-institusi terpilih yang berkongsi bersama bagi mendapatkan nasihat dan kerjasama. Program Diploma ini akan dilancarkan ke seluruh Komanwel pada Mei 1998.
     
     
 2.0  Justifikasi Penawaran Program
    2.1 Belia di seluruh Komanwel merupakan rakan pembangunan. Nilai, pengetahuaan dan kebolehan mereka akan menentukan kemampuan kerajaan negara mereka. Oleh itu setiap kerajaan perlu menganggap polisi belia sebagaai arus utama dan bukannya satu pinggiran. Ini termasuklah memberikan perhatian yang wajar kepada latihan dan peranan belia dalam kerja pembangunan dan seterusnya melengkapkan pengamal yang berkemampuan untuk melaksanakan penilaian yang perlu secara berkesan; membantu pekerja-pekerja lain dalam bidang bidang yang berkaitan; memajukan tindak balas polisi yang bersesuaian; dan mendapatkan sumber- umber yang perlu. 
     
   2.2 Di Malaysia, tanggal 15 Mei 1997 menandakan perubahan penting dalam pendekatan pembangunan belia di negara ini. Dalam pelancaran Perayaan Hari Belia pada hari tersebut, satu strategi baru telah diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia mengenai reformasi Pergerakan Belia, Hal Ehwal Belia dan Polisi Belia. Peristiwa penting ini memerlukan peningkatan profesionalisme dalam kerja belia di kalangan pekerja belia dan pemimpin belia dalam semua sektor (kerajaan, swasta dan NGO) agar lebih aktif di peringkat nasional dan antarabangsa.
     
   2.3 Kementerian Belia dan Sukan telah menghantar pegawai-pegawainya serta pekerja-pekerja belia dan NGO ke Pusat CYP ASIA di India. Walau bagaimanapun, kuota kemasukan bagi calon-calon dari Malaysia setiap tahun amat kecil - terhad kepada 2 -3 orang sahaja. Sehubungan dengan itu Kementerian memerlukan institusi tempatan bagi melatih lebih ramai lagi pekerja-pekerja belia profesional supaya dapat bersedia menghadapi cabaran yang akan datang. Pada masa yang sama, Kementerian juga sedang mengenalpasti program yang diiktiraf yang kemudiannya dapat memberi peluang kepada pelajar untuk meneruskan pengajian sama ada di dalam atau di luar negara. Penawaran Diploma Belia dalam Pembangunan oleh Universiti Putra Malaysia adalah tepat dengan tuntutan ini.
     
   2.4 Penawaran Program Diploma Belia dalam Pembangunan oleh Universiti Putra Malaysia disokong sepenuhnya oleh Kementerian Belia dan Sukan Malaysia. Seperti yang dinyatakan, Kementerian hanya dapat menghantar pekerja-pekerja belia daripada kerajaan dan NGO dalam kumpulan-kumpulan kecil bagi menyertai kursus diploma di Pusat CYP Asia di India. Dengan penawaran program Diploma Belia dalam Pembangunan oleh UPM, calon-calon yang lebih banyak akan dapat dilatih di dalam negara. Kementerian mempunyai 450 pegawai belia yang menunggu untuk dilatih melalui program Diploma ini. Di samping itu terdapat lebih 4000 pengamal yang berkhidmat dengan NGO yang memerlukan latihan dalam kerja-kerja belia secara profesional. Jumlah calon yang layak meningkat jika mengambil kira pegawai-pegawai yang berkhidmat di agensi-agensi pembangunan yang terlibat secara langsung dalam pembangunan belia tetapi tidak pernah mendapat latihan dalam kerja belia secara formal. Oleh kerana kerajaan berpendapat bahawa kerjasama dengan belia itu penting dalam pembangunan mampan, maka program ini amat berdaya maju dan mempunyai masa depan yang cemerlang. Program Diploma ini juga memberi peluang kepada peserta-peserta dari negara-negara Komanwel lain di rantau ini untuk menyertainya. Negara Brunai Darussalam telah memberi komitmen untuk menghantar 10 orang peserta bagi tiap-tiap sesi dan Singapura pula bercadang menghantar lima orang.
     
   2.5 Unit Pengajian Pembangunan Belia (UPPB), Jabatan Pendidikan Pengembangan, Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia telah menjalankan penyelidikan dan pembangunan di bidang pergerakan belia, Hal Ehwal Belia dan Polisi Belia di peringkat kebangsaan dan antarabangsa - khususnya dengan CYP. Pegawai di Jabatan sememangnya telah lama diberi penghormatan sebagai pegawai sumber, penyelidik, pemudahcara dan fellow dalam badan dan insitutsi pembangunan belia di peringkat kebangsaan, serantau dan antarabangsa. Sementara itu Jabatan pula merupakan perunding utama kepada Kementerian Belia dan Sukan sejak 1972. UPM telah dipilih sebagai institusi kongsi (rakan kongsi) bagi program diploma di rantau ini sebagai mengiktiraf peranan yang dimainkan oleh Jabatan dalam pembangunan sumber belia di semua peringkat.
     

 Diploma Belia dalam Pembangunan (seterusnya)